Adakah Anda Penyangak Siber?
Artikel ini berkaitan undang undang siber dan kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna dan usahawan internet sama ada secara sedar atau tidak.
Ketika asyik melayari internet dan mengira keuntungan hasil perniagaan online, tiba-tiba pintu rumah anda diketuk oleh dua pegawai polis dari cawangan jenayah perdagangan. Anda ditahan kerana melakukan jenayah siber dan berhadapan dengan kemungkinan dipenjara.Sudah pasti anda terpana seketika kerana anda tidak menyedari bahawa satu kesalahan telah dilakukan.
Dunia internet hari ini sering terdedah kepada perlakuan jenayah yang terancang ataupun tanpa disedari. Usahawan internet perlu sedar bahawa takrifan undang-undang amat kompleks dan bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna dan masyarakat.Kita digemparkan dengan berita dua penulis laman blog telah disaman oleh sebuah konglomerat media tempatan akibat dakwaan fitnah. 43 post blog beliau telah didakwa mengandungi elemen fitnah yang menyebabkan dokumen guaman setebal satu kaki tinggi telah dihantar oleh peguam plaintif kepada beliau.Sudah pasti tidak dapat dibayangkan andai perkara tersebut berlaku terhadap diri anda. Internet akan menjadi mimpi ngeri dan petaka besar seandainya perkara tersebut berlaku.
Sebagai pengguna internet dan menggunakan aplikasi dalam talian sebagai salah satu medium perniagaan, usahawan internet perlu berwaspada dan sentiasa mematuhi etika dan undang undang yang telah digariskan. Pada Mac 1997, kerajaan dengan penuh komitmen telah mewartakan Undang-undang Siber 1997 yang bertujuan melindungi hak dan kepentingan pengguna agar tidak menjadi mangsa. Capaian internet yang meluas dan mudah di mengakibatkan penggunaannya sering terdedah kepada perlakuan jenayah, kecurian, fraud, vandalisme, penipuan dan capaian yang tidak dibenarkan. Namun begitu agak sukar untuk membuktikan perlakuan jenayah siber ini memandangkan internet masih baru dan banyak kajian sedang dilakukan untuk memastikan bahawa setiap perlakuan tersebut boleh ditakrifkan sebagai jenayah atau tidak. Malah di Amerika Syarikat sendiri yang mempunyai teknologi canggih, agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan US merujuk banyak kes-kes jenayah siber akan tetapi majoritinya ditolak oleh peguam kerajaan. Contohnya setiap tahun antara 1992 dan 1998, Jabatan Keadilan US menolak untuk mendakwa antara 68 peratus dan 78 peratus kes jenayah siber yang dirujuk kepada mereka. 40 peratus ditolak kerana tiada bukti niat jenayah, kelemahan atau kekurangan keterangan yang boleh diterima. Antara perlakuan jenayah oleh penyangak internet yang harus dielakkan oleh usahawan internet ialah:-
MENCURI
Sekiranya usahawan internet membuat capaian ke atas maklumat pengguna lain seperti data peribadi, senarai, rekod, emel peribadi walaupun dengan niat yang baik boleh ditakrifkan sebagai mencuri.Selain itu memindahkan wang dari satu akaun ke akaun lain tanpa kebenaran juga ditafsirkan sebagai mencuri. Sekiranya anda sering mendapatkan data bakal pelanggan anda tanpa kebenaran, sebelah kaki anda sudah berada di dalam lokap.
MENCEROBOH
Capaian tanpa kuasa ke atas laman web berbayar, menukar link affiliate pengguna lain kepada identiti anda dengan niat untuk memindahkan pendapatan kepada milik anda boleh disifatkan sebagai menceroboh(hijacking). Awas sekiranya anda sering menyalin kod laman web pemilik lain tanpa kebenaran kerana anda telah menceroboh.
PENIPUAN
Kebelakangan ini internet menjadi medan untuk memperkenalkan pelbagai skim skim yang bertujuan menarik pengguna agar memasukkan sejumlah wang sama ada berbentuk perniagaan, pelaburan, sumbangan dan menggunakan pelbagai kaedah perniagaan seperti Multilevel marketing/sistem piramid, peluang perniagaan, lelongan, jualan barangan, tawaran kad kredit, pinjaman pendahuluan dan tawaran pekerjaan. Kaedah ini sering terdedah kepada penipuan. Usahawan internet perlu berhati hati kerana takrif penipuan ini amat luas dan sekiranya produk yang anda tawarkan tidak setimpal dengan harga dan kualiti, maka anda akan dikenakan dakwaan menipu sekiranya pengguna bertindak memanjangkan dakwaan tersebut kepada pihak berwajib.
PEMALSUAN
Meminda dokumen bagi memperdaya orang lain melalui laman web atau memalsukan fakta dan maklumat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 150,000 atau 10 tahun penjara atau kedua duanya sekali. Hukuman yang berat ini merupakan langkah kerajaan dalam menangani masalah yang diakibatkan oleh kecurangan yang dilakukan menerusi internet
KHIANAT
Vandalisma siber seperti meminda laman web umum dan menukarkan paparan serta maklumat seperti yang dilakukan oleh hackers boleh ditafsirkan sebagai mengkhianat yang membawa hukuman yang berat. Pencerobohan siber pula adalah tindakan menceroboh laman web persendirian yang perlu mengggunakan kata laluan menyebarkan virus, pornografi dan pengedaran bahan-bahan lucah merupakan kesalahan yang amat berat serta boleh dikenakan hukuman denda RM 100,000 dan 7 tahun penjara atau kedua duanya sekali. Gangguan Siber (cyber-harrasment) merupakan antara jenayah siber yang sering dilakukan sama ada secara sedar mahu pun tidak.
Sebagai Usahawan Internet, anda seharusnya berhati hati dan membuat penyelidikan sebelum menjalankan sesuatu tindakan bagi mengelakkan terjebak kepada perlakuan yang boleh ditafsirkan menyalahi undang undang. Penyangak internet hari ini sentiasa menunggu peluang tanpa mengira masa untuk melakukan jenayah mereka. Anda mungkin seorang usahawan internet sejati namun perlu sentiasa peka dengan persekitaran internet hari ini kerana setiap kesalahan walaupun tidak anda sedari tidak akan mendapat sebarang kompromi.Awas kerana “jerat sentiasa menanti pelanduk”.
Muhammad Zahran a.k.a. adiputra merupakan usahawan internet yang baru menceburkan diri di dalam dunia perniagaan online. Graduan lulusan Sarjana Muda Pengurusan ini aktif di dalam bidang perniagaan,politik dan pentadbiran.Antara hasil penulisan dan kajian beliau ialah “Kajian Pemantapan Projek PPRT”, “Peranan dan fungsi JKKK didalam pembangunan negara” serta penyelidikan berkaitan “Human Resource information System(HRIS)”.
Laman Web: www.mindajutawan.com
No comments:
Post a Comment