Dua bekas pengurus kanan Lembaga Tabung Haji (TH) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari Selasa setelah didapati bersalah melakukan pecah amanah membabitkan RM200 juta wang institusi itu lima tahun lepas.
Mohamad Shafie, 56, bekas pengurus kanan pelaburan TH dan Mohamed Amin Sidek, 55, bekas pengurus besar kewangan TH, masing-masing juga dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi dua pertuduhan bersama-sama menipu dua menteri berhubung kelulusan pelaburan dana institusi itu.
Hakim Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu, yang diperintahkan berjalan secara serentak bermula hari Selasa, setelah mendapati Mohamad dan Mohamed Amin bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu.
Kedua-dua tertuduh yang memakai sut lengkap berwarna biru gelap kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan manakala beberapa anggota keluarga dilihat menangis.
Bernama melaporkan dalam penghakimannya, Akhtar berkata Mohamad dan Mohamed Amin gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad dan Muhd Saifuddin Hashim Musaimi.
Terdahulu, hakim memuji pihak pendakwaan dan juga pembelaan kerana bersikap profesional sepanjang mengendalikan kes itu dan berharap profesionalisme yang ditunjukkan itu dikekalkan pada masa akan datang.
Mohamad, yang diwakili peguam V.Rajadevan, dan Mohamed Amin, yang diwakili peguam Fairuz Jaffril, masing-masing menghadapi tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan RM50 juta bagi Mohamad dan RM150 juta bagi Mohamed Amin, di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di sini, antara 14 Julai 2000 dan 11 Mei 2001.
Mereka juga dituduh bersama-sama menipu dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Brig Jen (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, di JPM Putrajaya, antara 29 Jun 2000 dan 27 Julai 2001.
Pertuduhan pecah amanah dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh juga didenda, manakala pertuduhan menipu dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Akhtar berkata lembaga pengarah telah meluluskan dana pelaburan itu dalam mesyuaratnya tanpa mengetahui fakta penting mengenainya.
"Tindakan kedua-dua tertuduh menghadiri taklimat di Asasi Trading sejurus sebelum mesyuarat ahli lembaga pengarah menunjukkan mereka tahu sebahagian pelaburan adalah untuk pasaran mata wang asing (forex).
"Mereka tahu fakta material ini tetapi sengaja menyembunyikannya dalam mesyuarat kerana ada perbezaan pendapat tentang status forex, sama ada halal atau tidak.
"Kedua-dua menteri terbabit juga tidak akan meluluskan pelaburan dana TH jika mereka mengetahui terdapat fakta material berkaitan forex yang disembunyikan dalam mesyuarat lembaga," katanya.
Dzulkifli dalam hujahannya berkata pelaburan itu menyebabkan TH mengalami kerugian RM80 juta, wang milik pendeposit yang disimpan bagi tujuan mengerjakan ibadat haji.
"Sehingga kini RM80 juta tidak dapat diperoleh semula dan telah mengakibatkan keyakinan masyarakat terhadap TH luntur serta memberi imej yang buruk kepada negara," katanya.
Fairuz, ketika merayu agar hukuman ringan dikenakan terhadap Mohamed Amin, berkata anak guamnya itu telah berkhidmat dengan Tabung Haji lebih 20 tahun dan rekod perkhidmatannya bersih.
Katanya Mohamed Amin juga mengalami penyakit asma yang agak serius selain menjadi penunggang tunggal kepada keluarganya.
Rajadevan pula memberitahu mahkamah bahawa Mohamad telah berkhidmat selama 26 tahun dengan Tabung Haji tetapi disebabkan sabitan kesalahan ini, "semuanya telah rosak seolah-olah disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga."
"Dalam kes ini, jelas menunjukkan tertuduh tidak mendapat sebarang keuntungan kewangan," katanya.
Akhtar, semasa menjatuhkan hukuman, berkata pendeposit menyimpan wang di Tabung Haji dengan keyakinan bahawa wang itu selamat daripada segi nilai, akidah dan material, tetapi perkara itu telah disalah lakukan oleh kedua-dua tertuduh.
"Saya bersetuju mereka lakukan bukan untuk kepentingan sendiri. Ketika itu semua pelaburan TH sedang hadapi masalah jadi mereka buat pelbagai perkara untuk mendapatkan keuntungan dengan mengetepikan nilai-nilai lain yang lebih penting daripada material.
"Hukuman bersifat pencegahan juga bukan sahaja memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh malah kepada semua penjawat awam supaya tidak melanggari undang-undang semasa melakukan tugas," katanya.
Seramai 29 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.- 23/1/2007